CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, February 27, 2010

HIDUP MESTI BERMATLAMAT!!!!




Matlamat Hidup ; ungkapan yang kerap kita dengar tetapi kita tidak faham apatah lagi untuk menghayatinya.


Apabila kita berbicara tentang matlamat hidup atau cita-cita, kita selalunya berpendapat soalan sebegini hanya untuk budak-budak. Kita anggap bahawa cita-cita sebagai barang mainan di bibir mulut. Kita memandang remeh perihal memiliki sasaran dalam hidup. Kita tidak kisah tentang masa depan. Apa yang kita tahu, hari ini kita nak berseronok. Esok pun berseronok. Lusa pun berseronok. Sampai bila-bila pun berseronok! Enjoy!!


Percayalah, jika anda di kalangan mereka ini, anda sedang mencorakkan kegagalan dalam

kehidupan anda! Kenapa pula? Penting sangatkah matlamat hidup sehinggakan boleh

memusnahkan masa depan? Mestilah penting.



Kenapa Hidup Mesti Bermatlamat?


Baiklah, untuk memudahkan perbincangan, mari bawa minda anda melihat beberapa contoh:


Kapal yang berlayar di lautan tidak mampu untuk bergerak jauh jika ia sendiri tidak tahu ke mana hala tujunya. Sama ada ke utara atau selatan, timur atau barat, kapal ini akhirnya karam dalam kekeliruan. Sudahnya, ke utara tidak, ke selatan pun tidak. Sekadar statik dan tidak maju. Buang masa, bazir tenaga dan sia-siakan harta!


Sama juga seperti permainan bola sepak yang tiada gawang gol! Jika dihimpunkan semua pemain profesional seantero dunia sekalipun, permainan tidak akan dapat berjalan kerana tidak ada sasaran dalam permainan! Tiada gol yang mampu dijaringkan kerana tidak ada gawang gol! Buang masa, bazir tenaga dan sia-siakan harta!


Begitu juga dengan permainan golf yang tiada lubangnya. Hatta Tiger Woods sendiri pun tidak mampu untuk melakukan sesuatu! Tiada sasaran. Tiada matlamat. Buang masa, bazir tenaga dan sia-siakan harta!


Begitulah juga jika anda yang sedang membaca artikel ini tidak mempunyai matlamat hidup! Tidak ada perancangan. Tidak tahu ke mana hala tuju kehidupan anda.

Tidak pernah terfikirpun tentang esok apatah tentang bulan, tahun dan dekad yang akan datang! Anda sekadar manusia yang sebenarnya hidup dalam khayalan dan terperangkap dengan tipu muslihat diri sendiri.


Tanpa matlamat anda sebenarnya membenarkan diri anda menjadi kapal yang dihanyut ombak. Seronoknya dibuai setiap hari tetapi tidak sedar bahawa hidup anda telah dipengaruhi oleh persekitaran dan manusia lain! Sedangkan kita yang sepatutnya menentukan destinasi masa depan hidup kita, bukannya orang lain!


Tiga Sebab Hidup Mesti Bermatlamat


Pertama : Matlamat hidup adalah sumber motivasi yang amat kuat, amat mudah dan amat murah!! Anda tidak perlu membayar untuk memiliki impian!

Dengan adanya matlamat, anda semestinya akan berasa lebih segar setiap hari. Kenapa? Mudah. Apabila anda membuka mata setiap pagi, anda memiliki misi untuk dilaksanakan. Anda memiliki cabaran untuk diatasi. Anda memiliki momentum diri yang tinggi!


Contohnya, jika matlamat hidup anda adalah untuk menjadi jutawan dan hartawan (pastikan anda juga seorang dermawan!), matlamat ini yang akan menjadi sumber motivasi dan inspirasi untuk anda terus berusaha, berusaha dan berusaha! Matlamat ini yang bakal menjadikan anda bertenaga dan bersemangat! Matlamat ini jugalah yang meniupkan api perjuangan yang marak menyala! Ini yang menyebabkan anda tabah apabila menghadapi masalah, sabar apabila terasa dicabar dan tidak kisah walaupun susah!


Kedua : Matlamat hidup menyediakan latihan terawal untuk berjaya!

Maknanya, dengan adanya matlamat hidup, anda akan sentiasa mencari jalan bagaimana untuk mencapainya walaupun anda mungkin baru setahun jagung dalam berimpian. Matlamat hidup menyebabkan anda tidak senang duduk dan bangkit berusaha mencari jalan bagi mencapainya.


Contohnya, jika anda ingin menjadi seorang doktor yang berjaya, matlamat hidup itulah yang bakal memandu anda untuk berjumpa dengan doktor pakar bagi mengetahui perjalanan untuk menjadi hebat sepertinya. Anda akan mula mengambil tahu tentang bidang kedoktoran. Anda semakin bersemangat untuk menghafal nama-nama penyakit sambil merungkai penawar bagi setiap satu daripadanya! Kerana apa? Kerana anda memiliki matlamat hidup! Dan ia membuka lapangan latihan untuk anda berjinak-jinak dengan impian anda!


Ketiga : Matlamat hidup menghidupkan hidup anda!

Dengan kata lain, dengan mempunyai matlamat hidup, anda hidup dengan visi dan misi yang jelas. Hidup anda dicorakkan dengan aktiviti-aktiviti yang memajukan diri anda. Bayangkan sehari anda lakukan satu langkah untuk mencapai cita-cita anda. Apa akan jadi jika tindakan anda ini konsisten selama satu tahun? Bukankah 365 langkah untuk mencapai matlamat hidup anda telah dilakukan?


Hidup bermatlamat bakal mengejutkan anda bangun dari tidur dan melakukan sesuatu yang bermanfaat. Anda tidak akan menjadi golongan yang suka melepak dan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Mengapa? Kerana anda ada misi yang perlu disempurnakan! Ya, inilah yang membezakan orang yang berjaya dengan mereka yang gagal dan suka menyalahkan orang lain atas kegagalan mereka!

KE MANA ARAH MATLAMAT ANDA



AHMAD BADRUL SANI BIN BAHARUDIN
Az-Zahrah Multi-Intelligence Academy

0 comments: