CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, March 12, 2010

MARI BERPANTUN

ILMU PENYULUH HIDUP


Salam sejahtera pembuka bicara,
Kepada anda pengunjung setia,
Inilah pantun nasihat dari saya,
Untuk panduan kita bersama.

Pak Salleh memasang bubu,
Ketika petang cuaca redup,
Kalau tuan ingin tahu,
Ilmu itu penyuluh hidup.

Makan sireh duduk bersila,
Sambil duduk bergurau senda,
Sekiranya ilmu penuh didada,
Hidup tidak gelap gelita.

Mak Munah pergi ke perigi,
Pergi bersama anaknya Siti,
Tuntutlah ilmu setiap hari,
Untuk kesenangan diri sendiri.

Cik Ani menanam bunga,
Bunga ditanam di tepi halaman,
Ilmu itu besar nilainya,
Harta dunia bukan tandingan.

Pak Abu menebar jala,
Jala ditebar di sungai Linggi,
Walau ilmu penuh didada,
Jangan suka menyombong diri.

Adik bermain jauh di sana,
Tangan berikat dengan tali,
Buat baik secara sederhana,
Buat jahat jangan sekali.

Tanam tebu di tepi pagar,
Daunnya kena orang lalu,
Nasihat guru hendak didengar,
Barulah kita selamat selalu.

Kait kelapa dengan galah,
Gelap mata terkena sinar,
Kita takut kerana bersalah,
Kita berani kerana benar.

Ibu ke sungai tangkap ikan,
Hendak digulai dengan nangka,
Ibubapa jangan disia-siakan,
Berjaya kita kerana mereka.

Nasi dimakan dengan lauk ikan,
Enak rasanya masakan Midah,
Jika kerjasama dapat didirikan,
Segala urusan menjadi mudah.

Ingatlah wahai rakanku,
Hidup ini perlu berilmu,
Hulurkan bakti serta jasamu,
Agar kamu dihormati selalu.

Ilmu itu sangat berguna,
Boleh dibawa ke mana-mana,
Tanpa ilmu gelaplah dunia,
Setiap masa hidup sengsara.

Ingatlah selalu pesanan daku,
Jadikan petua setiap waktu,
Jangan mudah menjadi jemu,
Apabila menerima ajaran guru.

Buatlah baik wahai insan,
Kepada manusia taburkan pesan,
Jangan mudah berhati bosan,
Nanti tidak memberi kesan.

Biar sedikit membuat bakti,
Walau sebesar jarum peniti,
Asalkan tulus niat dihati,
Itulah nama jasa sejati.

Kalau hidup berbuat jasa,
Kepada agama,negara dan bangsa,
Setelah diri hancur binasa,
Bakti juga dikenang sentiasa.

Andainya kamu orang berilmu,
Dipandang mulia setiap waktu,
Rajin berusaha menimba ilmu,
Agar sengsara jauh darimu.

Pergi ke pekan menjual kain,
Kain dijunjung di atas kepala,
Semasa belajar jangan bermain,
Kelak nanti merugikan kita.

Membeli roti di kedai Hajar,
Ambil sekeping disapukan kaya,
Kalau kita rajin belajar,
Sudah tentu akan berjaya.

SELAMI MAKSUD DISEBALIK PANTUN TERSEBUT AGAR MEMBERI KESEDARAN KEPADA KITA BAHWA PENTINGNYA ILMU DALAM KEHIDUPAN.

0 comments: