CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, March 27, 2010

RAHSIA DI SEBALIK SENYUMAN





1. Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.

2. Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupayamenceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.

3. Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan 'gembira'. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.

4. Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.

5. Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar dengupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.



6. Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Jesteru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.

7. Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis 'stress' iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.

8. Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon 'endorphins' dan hormon 'neurotransmitters' dan penurunan tahap hormon stress 'cortisol' dan 'adrenaline' .

9. Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).

10. Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.



11. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.

12. Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa 'mengurut' organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.

13. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.

14. Selain memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah. Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. Senyum tidak perlu modal, sekelumit rasa ikhlas yang bisa memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.

15. Pujangga menyebut :
" SENYUM ITU KELOPAK. KETAWA ITU BUNGA YANG SEMPURNA KEMBANGNYA".

JADI SENYUMLAH SELALU

Monday, March 22, 2010

LAWAK LUCU SEMPOI....

ASAL NAMA ELEKTRIK

Orang Melayu dikatakan mengambil perkataan ELEKTRIK daripada perkataan Inggeris yang juga ELECTRIC. Tetapi yang sebenarnya, ELECTRIC itu diambil dari perkataan Melayu campur Inggeris.

Ceritanya... . Pada suatu masa dulu selepas setahun Thomas Edison mencipta lampu, saintis tidak pernah terfikir memberi nama kuasa yang menyebabkan lampu itu hidup. Jadi, entah macam mana semasa lampu mula-mula hendak diperkenalkan di Tanah Melayu, ada seorang Melayu yang bernama Kulup Kalimantang mati-mati tidak percaya pada hasil ciptaan Thomas Edison itu. Semasa demonstrasi diadakan oleh Thomas di Tanah Melayu untuk memperkenalkan lampu itu, Kulup Kalimantang pun berkata dengan kuat.

"Ele..trick aje tu... ele..trick aje... ele trick!". ( Bermaksud tipu )

Thomas Edison berfikir Kulup berkata begitu kerana mengatakan lampu menyala disebabkan oleh kuasa "ele..trick" . Jadi digunakanlah perkataan "ELE..TRICK" yang dieja ELECTRIC mengikut ejaan orang putih. Sebagai mengingati jasa Kulup Kalimantang menamakan kuasa ELECTRIC itu, maka diciptalah sejenis lampu panjang yang dinamakan lampu kalimantang.

THANK YOU SEVEN

Hendak dijadikan cerita, ada seorang pemuda yang baru je pandai bercakap Inggeris. Perkataan yang dia tau plak seperti ; ok never mind, thank you, one, two, three, four five, six, seven dan bye-bye

Pada suatu hari pemuda ini bergegas hendak ke tempat kerjanya sebab terlewat, sambil membawa beberapa barang. sedang asyik dia berjalan laju tiba-tiba dia terlanggar seorang mat salleh. Habis jatuh barang yang dibawanya, mat salleh itu pun membantu pemuda itu mengambil barang-barangnya yang jatuh.

Pemuda ; ( inilah peluangku untuk menguji kehebatanku berbahasa inggeris ) katanya dalam hati.
Mat salleh ; Oh, I'm sorry
Pemuda ; It's ok, never min. Thank you.
Mat salleh ; Thank you too.
Pemuda ; ( hmm..lepas two, mesti three ) thank you three.
Mat salleh ; ( hairan ) what for?
Pemuda ; ( four..four hmm five ) thank you five.
Mat salleh ; Are you sick?
Pemuda ; ( alamak, lepas sick.. seven pas aku tak tau dah.. mesti mau cabut ) Sambil mengambil barangnya... pemuda itu pun berteriak dari jauh .. Thank you seveeen! bye-bye .
Mat salleh ; ( bingung )

Saturday, March 20, 2010

RAHSIA JENIS PERSONALITI DENGAN DARAH ANDA


Adakah jenis darah yang mengalir dalam tubuh kita mampu menggambarkan personaliti sebenar diri kita sendiri? Menurut salah sebuah institut di Jepun, kajian yang dilakukan ke atas jenis-jenis darah yang mengalir di dalam tubuh manusia ternyata mampu memberi gambaran terdekat mengenai keperibadian individu itu sendiri. Lets check it out..

DARAH O
Individu yang memiliki jenis darah dari kategori ini disifatkan sebagai individu yang setia, sabar dan sentiasa yakin terhadap keupayaan dan kebolehan diri sendiri. Selain itu individu dari kategori ini juga sering bersifat ingin menjadi ketua walau dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan khususnya yang melibatkan kerja-kerja berkumpulan. Sekiranya menginginkan sesuatu, anda akan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut walau dalam apa cara sekalipun. Ada kalanya anda dikatakan memiliki sifat cemburu yang agak kuat. Selain itu anda juga terlalu serius dalam persaingan sehinggakan ia mampu memberikan tekanan kepada diri anda sendiri.
Oleh yang demikian anda harus lebih bijak mengawal emosi diri anda agar tidak dikuasai dengan tekanan.

DARAH A
Keharmonian dan keamanan adalah matlamat utama dalam hidup anda. Anda gemar melakukan kerja-kerja secara berkumpulan dan anda juga gemar melibatkan diri dengan berpersatuan. Anda bijak bergaul dengan individu di sekeliling dan ternyata mereka juga sentiasa berasa senang untuk bekerjasama dengan anda.

Sikap sensitif, sabar, dan bertimbang rasa yang ada dalam diri anda itu melambangkan bahawa anda tergolong dalam kategori individu yang memiliki keperibadian penyayang. Walau bagaimanapun ada kalanya anda agak degil dan terlalu kuat bekerja sehinggakan tidak mengendahkan langsung waktu untuk berehat. Anda harus ingat, kesihatan juga perlu diutamakan. Jangan kerana terlalu leka dengan kerja-kerja anda itu, kesihatan diri pula yang terabai.

DARAH B

Sempoi! Itulah ungkapan yang paling rapat dengan anda. Anda lebih selesa dengan kesederhanaan. Dalam perhubungan pula anda adalah individu yang terlalu jujur dan lebih gemar berterus terang dalam apa jua perkara. Dalam melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan, anda lebih gemar melaksanakannya dengan cara anda sendiri. Anda adalah individu yang kreatif dan fleksibel, mudah bagi diri anda untuk meletakkan diri sendiri dalam apa jua situasi mahupun kelompok golongan tertentu.
Anda adalah individu yang bijak bersosial. Namun ada kalanya sikap anda yang gemar berdikari dan tidak gemar meminta bantuan orang lain itu, mampu mendatangkan masalah buat diri anda dan sekali gus memperlihatkan kelemahan pada diri sendiri. Anda harus ingat bahawa, tidak semua perkara kita boleh menyelesaikannya secara bersendirian.

DARAH AB
Tenang dan bijak mengawal emosi, itulah keperibadian yang jelas terpancar dalam diri individu yang tergolong dalam kategori darah berjenis AB ini. Anda juga sentiasa menghormati orang lain dan ini menjadikan individu yang berada di sekeliling anda berasa selesa untuk berdampingan dengan anda. Anda juga memiliki sikap humor semula jadi dalam diri dan sentiasa bersikap menghiburkan dan ceria.

Namun ada satu perkara yang harus anda perbaiki dalam diri anda itu. Anda perlu lebih bijak dan berani untuk membuat keputusan sendiri. Jangan biarkan orang lain membuat keputusan untuk diri anda sendiri.

P/S: Betul atau tidak anda nilai sendiri ;)

Monday, March 15, 2010

RAHSIA PERSONALITI BERDASARKAN GAYA BERCUTI


Artikel ini satu perkongsian untuk meluaskan pengalaman dan pengetahuan anda. Keesahan dan kebolehpercayaan berkenaan artikel ini tidak dapat dipastikan....sebagai pembaca anda dapat menentukannya. Jawab soalan ini dulu. Sekiranya anda diberi pilihan, ke manakah anda akan bercuti?
  1. PULAU (Contoh, Pulau Perhentian ker…)
  2. BANDAR-BANDAR BESAR (Contoh, TOKYO, LONDON ker…)
  3. TAMAN TEMA (Contoh, Genting Park ker, Disneyland ker…)
  4. BANDAR / KOTA BERSEJARAH (C ontoh, Melaka ker, ISTANBUL ker…)
  5. GUNUNG-GANANG (Contoh, Gunu ng Tahan ker, Kinabalu ker… )


  • PULAU

Keindahannya dan kedamaian pulau pasti menjadi pilihan individu yang gemarkan ketenangan. Walaupun terpaksa memperuntukan sejumlah wang yang agak banyak yang agak banyak untuk merealisasikan percutian ini, itu tidak menjadi halangan! Apa yang pasti, kenikmatan dan ketenanganakan diperolehi kelak!

Personaliti
Bijak mengawal emosi, itulah gambarantepat mengenai personaliti individu yang gemarkan percutian ke destinasi-destinasi sebegini. Selain itu, individu yang tergolong dalam kategori ini juga memiliki jiwa yang agak sensitif, justeru tidak hairanlah sekiranya orangnya agak sensitif perasa dan mudah tersinggung.

Percintaan
Perwatakan yang lembut dan ramah sering membuatkan individu di sekeliling mudah jatuh hati dengan individu ini. Tidak hairanlah sekiranya mereka mempunyai ramai peminat. Walau bagaimanapun individu yang memilikiciri-ciri sebegini sememangnya bijak memilih pasangan hidup dan sentiasa berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan. Sekiranya sudah terikat dengan cinta, kejujuran dan keikhlasan individu ini tidak perlu diragui lagi oleh pasangannya.


  • BANDAR-BANDAR BESAR

Lain orang lain persepsinya. Percutian di bandar-bandar besar mungkin digemari oleh segelintir individu. Ada yang berpendapat percutian di bandar-bandar besar ini mampu memberikan satu kepuasan yang agak eksklusif. Sudah tentu di bandar-bandar besar sebegini memiliki serba-serbi kemudahan yang memuaskan dan sekaligus memudahkan perjalanan percutian individu itu.

Personaliti
Individu yang gemarkan percutian di bandar-bandar besar ini dikatakan memilliki sifat yakin diri sendiri dan mereka tergolong dalam kategori individu yang optimis. Kadangkala agak keras kepala dan ada kalanya sukar menerima pandangan dan pendapat orang lain. Selain itu soal kewangan juga harus dipandang serius kerana mereka terlalu mudah mengeluarkan wang untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah, pendek kata orangnya agak boros!.

Percintaan
Cinta bukanlah agenda utama dalam hidup individu yang tergolong dalam kategori ini. Mereka tidak serius apabila membincangkan topik berkaitan cinta. Takut pada komitmen soal ini. Walau bagaimanapun, individu di sekelingnya juga perlu berhati-hati kerana mereka yang tergolong dalam kategori ini dikatakan gemar bertukar-tukar pasangan.

  • TAMAN TEMA

Selalunya destinasi sebegini menjadi pilihan utama kanak-kanak.tapi tidak kurang juga, ada segelintir goilongan dewasa yang gemarkan percutian ke taman-taman tema ini. Keseronokan dan kemeriahan itulah yang dicari sehingga sanggup menghabiskan masa seharian dengan bermain-main sambil berjalan-jalan di destinasi taman tema pilihan mereka.

Personaliti
Selalunya individu yang tergolong dalam kategori ini memiliki ramai teman. Mereka gemar menghabiskan masa diluar bersama teman-teman. Sikap mudah bergaul menjadikan mereka individu yang sangat disenangi. Sikap agak keanak-anakan juga menjadi faktor mengapa ramai yang gemar mendampingi individu yang tergolong dalam kategori ini.

Percintaan
Melihat sikapnya yang agak keanak-anakan, ada kalanya membuatkan pasangannya agak bosan. Mereka sukar untuk bersikap serius sekiranya dikehendaki membincangkan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun pasangannya harus bersyukur kerana individu yang tergolong dalam kategori ini dikatakan seorang yang tabah dan rela berkorban, khususnya untuk kebahagian pasangannya itu


.

  • BANDAR / KOTA BERSEJARAH

Bandar bersejarah merupakan tempat utama mencari ilham bagi mereka yang berjiwa patriotik. Tak hairanlah ada yang sanggup menitiskan air mata tatkala mengingatkan pengorbanan para pejuang dahulu kala mempertahankan negara tercinta. Contohnya Melaka, pasti kita akan kagum dengan pengorbana yang telah dilaburkan. Tanpa pengorbanan tersebut oleh mereka yang terdahulu pasti kita tidak dapat menikmati kehidupan seperti sekarang ini.

Personaliti
Individu yang gemar bercuti tempat bersejarah umumnya mempunyai jiwa dan perasaan yang abstrak. Sukar di tafsirkan dan dimengertikan. Dari segi penampilan,mereka lebih gemar berpakaian ringkas dan sempoi contohnya seluar besar, baju besar, beg besar dan bersandal nipis. Mereka ini persis seniman jalanan yang gemarkan kehidupan yang sederhana.

Percintaan
Sikapnya yang agak tegas dan serius kadangkala membuatkan cinta mereka ini tidak dapat dilihat secara telus. Dan ini amat membimbangkan sekiranya pasangan mereka tidak dapat memahami dan mengenali secara lebih dekat siapakah diri mereka yang sebenar. Lazimnya mereka ini sebenarnya gemar dimanja walaupun kadangkala mereka terlalu sukar untuk mempamerkan kasih sayang terhadap pasangan.


  • GUNUNG-GANANG

Mendaki gunung, berekspedisi dan menhabiskan masa di kawasa hutan merupakan saat paling indah bagi mereka yang berminat denga aktiviti lasak. Malah, peluang dapat bersama teman-teman menhabiskan cuti hujung minggu di kawasan pergunungan merupakan pengalaman paling manis bagi mereka. Satu kepuasan yang tinggi nilainya sekiranya impian untuk menawan puncak gunung yang menjadi target utama berjaya. Tak kisahlah sekiranya terpaksa mengeluarkan wang yang banyak semata-mata ingin menyertai sesebuah ekspedisi, asalkan hati puas dan gembira.

Personaliti
Selalunya, individu seperti ini tidak gemar menghabiskan masa di kompleks membeli belah atau bersembang di cafe mewah bersama teman-teman. Pada pendapat mereka, sikap begini hanya mendatangkan kerugian dan tidak memberi apa-apa makna dalam hidup mereka. Individu yang gemarkan aktiviti lasak seperti ini merupakan seorang yang berfikiran terbuka. Lasak dan berdikari. Tak hairanlah jika mereka ini bijak menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan. Pastinya mereka ini bukan seorang individu yang membosankan.

Percintaan
Individu jenis ini sukakan pasangan yang mampu hidup berdikari tanpa bergantung kepada sesiapa. Malah, kebanyakan masa mereka dihabiskan dengan melakukan aktiviti lasak bersama teman-teman yang mempunyai minat yang sama dengan mereka.. Selalunya mereka jenis ini bukanlah seorang yang taksub dengan cinta atau terlalu manja. Mereka gemarkan percintaan yang berlandaskan prinsip ‘ada kalanya kita bagai pasangan kekasih, dan ada kalanya kita sebagai kawan biasa’. Bagi mereka yang tidak memahami prinsip seperti ini, pasti hati mudah terhiris dan terluka. Tidak hairanlah jika individu seperti ini lebih senang menjalinkan cinta dengan kawan-kawan yang sudah mereka kenali.


KATA-KATA BERLIAN










Sunday, March 14, 2010

CARA UNTUK MENGAWAL MALU BILA KANTOI.......HEHEHE

Sedikit perkongsian di kala aku masih keliru. Sekadar untuk menitipkan senyuman di bibir sendiri.

  1. Jika diketawakan rakan ketika tertidur di pejabat sehingga meleleh air liur basi, terus bangun separuh sedar dan buat-buat kena sawan sambil keluarkan lagi air liur. Gerenti rakan sepejabat anda akan panik dan berhenti ketawakan kamu. Tak pun, bangun dan cakap “Astaghfirullahalazim, kenapa tak kejut aku”, kemudian sambung tidur balik (yang ni memang ada kawan aku amalkan.. huhu).
  2. Kalau tersilap menyapa orang yang tak dikenali, teruskan menganggap dia kenalan sendiri dan bagi dia duit kononnya pernah berhutang dengannya. Mesti dia pun mengaku kamu adalah kenalannya. Selepas tu bawalah dia pergi makan di gerai mana yang berdekatan.
  3. Jika ditegur orang kerana zip seluar terbuka, jawab dengan selamba mengatakan ini adalah gaya berfesyen atau katakan bahawa zip itu rosak sambil berfalsafah “biar rosak zip, jangan rosak akhlak”. Apabila dah tak ada orang tu, cepat-cepat la zipkan, kan nanti tak pasal-pasal “dia” mengamuk…
  4. Bercakap seorang diri kerana kawan ditinggalkan di belakang semasa berjalan dengannya dan teruskan bercakap serta ketawa sambil menyumpah kawan macam orang gila. Tentu orang takkan gelakkan kerana menyangka kamu ada masalah mental kronik. Tapi jangan lebih-lebih sangat, dirisaukan anda akan berakhir di Hospital Bahagia. Ahaks…
  5. Jika tersilap masuk tandas wanita, buat-buat muka gelabah dan cemas sambil berlakon menyatakan tujuan kamu masuk kerana nak mencari isteri atau saudara perempuan (tak mahu guna alasan awek) yang dah sejam tadi masuk tapi tak keluar-keluar lagi.

KEBENARAN SEBUAH KEGAGALAN

Dalam meniti kegagalan, sama ada yang telah dilalui atau bakal ditempuh, pasti ada yang rasa kecewa dan kecundang. Tidak kiralah sama ada bagi mereka yang terasa kegagalan dalam peperiksaan atau yang lebih teruk, kegagalan dalam kehidupan.

Ayat motivasi di bawah diambil dan dialih bahasa daripada tulisan puisi “Kebenaran Sebuah Kegagalan” oleh Robert Schuller.

  • Kegagalan tidak bermakna anda gagal… ia bermaksud kamu masih belum berjaya lagi.
  • Kegagalan bukan bermakna anda belum menyempurnakan apa-apa… ia bermaksud kamu telah mempelajari sesuatu.
  • Kegagalan tidak bermakna anda bodoh… ia bermaksud kamu mempunyai kepercayaan yang tinggi.
  • Kegagalan bukan bermakna anda telah dimalukan… ia bermaksud kamu sanggup untuk mencuba.
  • Kegagalan tidak bermakna anda tidak mampu… ia bermaksud kamu perlu melakukannya dengan cara lain.
  • Kegagalan bukan bermakna anda dipandang rendah… ia bermaksud kamu belum mencapai tahap terbaik.
  • Kegagalan tidak bermakna anda telah membazirkan hidup anda… ia bermaksud kamu perlu memulakan sesuatu yang baru.
  • Kegagalan bukan bermakna anda patut menyerah kalah… ia bermaksud kamu patut mencuba dengan lebih kuat lagi.
  • Kegagalan tidak bermakna anda tidak akan berjaya… ia bermaksud kamu perlu lebih sabar.
  • Kegagalan bukan bermakna Tuhan telah tinggalkan kamu… ia bermaksud Tuhan ada perkara yang lebih baik untuk kamu.

MANGKUK YANG CANTIK

Rasulullah s.a.w dengan sahabat-sahabatnya Abu Bakar r.a, Umar r.a, Utshman r.a. dan Ali r.a. bertamu ke rumah Ali r.a. Di rumah Ali r.a. isterinya Sayidatina Fatimah r.ha. putri Rasulullah s.a.w. menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan didalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut terikut didalam mangkuk itu. Baginda Rasulullah s.a.w kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut, mangkuk yang cantik, madu dan sehelai rambut.

Abu Bakar berkata, "Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut."

Umar r.a. berkata, "Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu, dan memerentah dengan adil itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Utshman r.a. berkata, "Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Ali r.a. berkata, "Tetamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tetamu itu lebih manis dari madu, dan membuat tetamu senang sampai kembali pulang ke rumah adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Fatimah r.ha berkata, "Seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang berpurda itu lebih manis dari madu, dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali mahramnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Rasulullah s.a.w berkata maksudnya, "Seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis dari madu, dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Malaikat Jibril a.s berkata maksudnya, "Menegakkan pilar-pilar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri, harta dan waktu untuk usaha agama lebih manis dari madu, dan mempertahankan usaha agama sampai akhir ayat lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Allah s.w.t. berfirman maksudnya, "Syurga-Ku itu cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat Syurga-Ku itu lebih manis dari madu, dan jalan menuju Syurga-Ku adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Friday, March 12, 2010

MARI BERPANTUN

ILMU PENYULUH HIDUP


Salam sejahtera pembuka bicara,
Kepada anda pengunjung setia,
Inilah pantun nasihat dari saya,
Untuk panduan kita bersama.

Pak Salleh memasang bubu,
Ketika petang cuaca redup,
Kalau tuan ingin tahu,
Ilmu itu penyuluh hidup.

Makan sireh duduk bersila,
Sambil duduk bergurau senda,
Sekiranya ilmu penuh didada,
Hidup tidak gelap gelita.

Mak Munah pergi ke perigi,
Pergi bersama anaknya Siti,
Tuntutlah ilmu setiap hari,
Untuk kesenangan diri sendiri.

Cik Ani menanam bunga,
Bunga ditanam di tepi halaman,
Ilmu itu besar nilainya,
Harta dunia bukan tandingan.

Pak Abu menebar jala,
Jala ditebar di sungai Linggi,
Walau ilmu penuh didada,
Jangan suka menyombong diri.

Adik bermain jauh di sana,
Tangan berikat dengan tali,
Buat baik secara sederhana,
Buat jahat jangan sekali.

Tanam tebu di tepi pagar,
Daunnya kena orang lalu,
Nasihat guru hendak didengar,
Barulah kita selamat selalu.

Kait kelapa dengan galah,
Gelap mata terkena sinar,
Kita takut kerana bersalah,
Kita berani kerana benar.

Ibu ke sungai tangkap ikan,
Hendak digulai dengan nangka,
Ibubapa jangan disia-siakan,
Berjaya kita kerana mereka.

Nasi dimakan dengan lauk ikan,
Enak rasanya masakan Midah,
Jika kerjasama dapat didirikan,
Segala urusan menjadi mudah.

Ingatlah wahai rakanku,
Hidup ini perlu berilmu,
Hulurkan bakti serta jasamu,
Agar kamu dihormati selalu.

Ilmu itu sangat berguna,
Boleh dibawa ke mana-mana,
Tanpa ilmu gelaplah dunia,
Setiap masa hidup sengsara.

Ingatlah selalu pesanan daku,
Jadikan petua setiap waktu,
Jangan mudah menjadi jemu,
Apabila menerima ajaran guru.

Buatlah baik wahai insan,
Kepada manusia taburkan pesan,
Jangan mudah berhati bosan,
Nanti tidak memberi kesan.

Biar sedikit membuat bakti,
Walau sebesar jarum peniti,
Asalkan tulus niat dihati,
Itulah nama jasa sejati.

Kalau hidup berbuat jasa,
Kepada agama,negara dan bangsa,
Setelah diri hancur binasa,
Bakti juga dikenang sentiasa.

Andainya kamu orang berilmu,
Dipandang mulia setiap waktu,
Rajin berusaha menimba ilmu,
Agar sengsara jauh darimu.

Pergi ke pekan menjual kain,
Kain dijunjung di atas kepala,
Semasa belajar jangan bermain,
Kelak nanti merugikan kita.

Membeli roti di kedai Hajar,
Ambil sekeping disapukan kaya,
Kalau kita rajin belajar,
Sudah tentu akan berjaya.

SELAMI MAKSUD DISEBALIK PANTUN TERSEBUT AGAR MEMBERI KESEDARAN KEPADA KITA BAHWA PENTINGNYA ILMU DALAM KEHIDUPAN.